DALAM usia 72 tahun, Morad Ibrahim atau Pak Morad berusaha gigih untuk menghidupkan pementasan bangsawan untuk tontonan generasi muda hari ini yang lebih cenderung memilih teater moden.
Tekad untuk mementaskan bangsawan Puteri Selindungan Bulan (PSB) di Panggung Bandaraya, Kuala Lumpur selama tiga hari mulai 14 Oktober, telah mendapat respon daripada para peminat bangsawan.
Puteri Selindungan Bulan yang dibawakan oleh kumpulan Bangsawan Seri Kedah pimpinan beliau dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) adalah sempena bulan Bahasa Kebangsaan.
Menurut Pak Morad, bukan mudah untuk terus menghidupkan bangsawan kerana era kegemilangannya telah lama berakhir.
"Pada zaman dahulu bangsawan menjadi hiburan untuk orang Melayu dan bukan Melayu.
"Tetapi kini, bangsawan hanya menjadi tontontan orang Melayu dengan jumlah penontonnya yang amat terhad.
"Bagi saya, kalau kita mahu pementasan bangsawan terus hidup, kita perlukan sokongan pelbagai pihak," katanya ketika ditemui selepas malam akhir pementasan PSB, di Panggung Bandaraya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menurut Pak Morad, walaupun bangsawan kini dipinggirkan namun tidak terlintas di hatinya untuk menandingi teater urban kerana apa yang penting baginya bangsawan akan terus hidup.
"Sejak umur saya 10 tahun, saya sudah didedahkan dengan pementasan bangsawan termasuk menjadi budak pentas (stage boy), penarik tirai, tukang sapu pentas dan pegang tombak sebelum belajar berlakon dan menulis skrip.
"Kalau diimbas kembali, tidak boleh tidak, dunia bangsawan mesti dikaitkan dengan Allahyarham Mak Enon yang diberi jolokan sebagai Seri Panggung Bangsawan pada zaman dahulu.
"Kegilaan penonton dan peminat bangsawan terhadap Mak Enon pada ketika itu adalah kerana dia cantik, boleh berlakon, menyanyi, bersilat dan menari.
"Itu adalah kriteria yang perlu ada dalam diri seseorang pelakon bangsawan yang mana, agak sukar untuk dicari hari ini.
"Selain Mak Enon, pelakon bangsawan lain yang turut diminati ketika zaman kegemilangannya ialah Allahyarham Mak Minah Yem, Mak Minah Elias serta Zaharah Agos.
"Mereka ini adalah antara insan yang pernah menggegarkan pentas bangsawan, namun kini semuanya hanya tinggal kenangan," kata Pak Morad yang bertindak sebagai pengarah dan penulis skrip PSB.
(Utusan Malaysia)