23 October, 2012

Skandal Kedah Corp, merongkah kotak Pandora

Sinar Harian:- 
 
ALOR SETAR - Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak menafikan kerajaan negeri Kedah menyeleweng dalam pelaburan projek pembalakan dan perladangan syarikat Kedah Corporation Bhd (Kedah Corp) di Papua New Guinea.
 Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menyiasat kes tersebut seperti yang didedahkan oleh Ketua Audit Negara dalam laporan audit 2011, baru-baru ini.

Laporan Ketua Audit Negara turut menyebut Kedah Corp membuat pinjaman luar dari sebuah bank sebanyak RM135 juta bagi membiayai projek di Papua New Guinea.

Azizan, yang pertama kali menjawab isu itu hari ini, menolak dengan keras tuduhan bahawa kerajaan negeri bersalah dan menyeleweng dalam isu ini kerana menyebabkan Kedah Corp kerugian RM13.49 juta dalam projek tersebut.

Semalam Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kota Setar bagi membolehkan polis menyiasat anak syarikat Perbadanan Menteri Besar (MBI) itu.

Azizan berkata sebenarnya Pengarah Urusan baru Kedah Corp, Akashah Ismail membuat pinjaman luar pesisir sebanyak US$40 juta daripada sebuah bank di United Kingdom pada 2009 tanpa pengetahuan lembaga pengarah dan berpakat dengan
MAS Corporation Sdn Bhd (MAS Corp) untuk melabur dalam projek pembalakan di Papua New Guinea.

"Setelah mengetahui penyelewengan itu, sebuah jawatankuasa ditubuhkan bagi menyiasat operasi Kedah Corp dan mendapati projek di Papua New Guinea tidak menguntungkan lalu menghentikannya," kata Azizan kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas menyerahkan 394 ekor lembu korban kepada jabatan dan agensi persekutuan dan negeri serta wakil rakyat di Stadium Suka Menanti di sini, yang disumbangkan oleh syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) sempena sambutan Aidiladha pada Jumaat ini.

Azizan berkata kerajaan negeri telah mengarahkan transaksi oleh bank di United Kingdom dihentikan namun terpaksa membayar RM1.4 juta sebagai yuran perunding kepada sebuah syarikat.
   
"Kerajaan negeri tidak akan berhenti menuntut kembali wang RM1.3 juta daripada MAS Corp yang dijanjikan pemiliknya. Saya juga sedia menyerahkan fail kes ini kepada polis termasuk untuk mengesan Akashah yang menghilangkan diri," katanya.

Azizan mendakwa banyak lagi kes salah urus GLC menyebabkan kerajaan pimpinannya terpaksa menanggung hutang yang perlu dilangsaikan.

"Saya terpaksa meneliti semula semua perjanjian yang dibuat supaya tidak merugikan kerajaan negeri termasuk projek 99East iaitu pembangunan Bukit Malut di Langkawi membabitkan tanah kerajaan negeri sebanyak 360 ekar (144 hektar)," katanya.  -Bernama

Komen: Rupa-rupanya banyak bangkai dan ulat jika betul-betul dirongkah dalam Kedah Corp. Ibarat membuka Pandora's Box. Bukan setakat kerajaan PAS sahaja tetapi kerajaan terdahulu juga tidak kesunyian.