31 July, 2011

"Rakyat Kedah minta BN ambil alih semula Kedah" Datuk Bashah

Keputusan yang sentiasa menghantui mereka yang kalah.
GUAR CHEMPEDAK - UMNO Kedah bertekad untuk memenangi kesemua 15 kerusi Parlimen di Kedah demi membantu Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengekalkan pemerintahan Kerajaan Pusat di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, UMNO dan BN Kedah turut berjanji memenangi sekurang-kurangnya 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah daripada jumlah keseluruhan 36 kerusi bagi membolehkan mereka mengubah nasib rakyat Kedah.

Bagaimanapun, beliau mengakui sasaran parti itu hanya dapat dicapai sekiranya semua pimpinan parti komponen bersatu-padu dan menjadikan keperluan rakyat sebagai salah satu agenda perjuangan utama parti.

“Saya terima banyak maklum balas rakyat yang meminta BN mengambil alih semula pentadbiran Kerajaan Negeri daripada Pakatan Rakyat (PR).

“Justeru, pemimpin BN perlu mengetepikan persengketaan dalam parti dan mula menitikberatkan kepentingan rakyat sekiranya kita mahu memenuhi hasrat rakyat yang mahukan BN ambil alih semula Kedah,” katanya.

Ahmad Bashah berkata, pemimpin BN juga perlu mengikis sikap ‘hanya turun padang bila PRU menjelang tiba’ dan wajib mendekati rakyat sepanjang masa bagi membolehkan mereka merasai ‘sentuhan peribadi’ yang ditunjukkan pemimpin parti itu.

“Sekiranya sikap sebegini diambil remeh, bagaimana rakyat hendak meletakkan kepercayaan kepada kita untuk menjaga kepentingan mereka?

“Selain itu, pemimpin yang tidak terpilih menjadi wakil rakyat nanti perlu sentiasa menyokong pemimpin yang dipilih. Utamakan kepentingan parti dan saya yakin rakyat akan semakin yakin dengan keupayaan kita,” katanya.

Ahmad Bashah turut meminta rakyat Kedah menilai kembali dan membuat keputusan yang tepat pada pilihan raya akan datang.

“Perubahan yang dibuat perlu bermakna dan saya minta rakyat Kedah buat pilihan yang terbaik demi pembangunan negeri ini,” katanya.