18 August, 2013

EXCO SELEWENG AKAN BERDEPAN TINDAKAN

Kerajaan Kedah akan mengenakan tindakan tegas terhadap pihak pentadbiran negeri termasuk Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), jika mereka didapati melakukan penyelewengan dalam menjalankan tugas masing-masing.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir, berkata tindakan itu perlu bagi memastikan perjalanan pentadbiran dan pengurusan mempunyai tahap integriti yang tinggi dan bebas daripada amalan rasuah serta sebarang bentuk penyelewengan demi kepentingan rakyat dan negeri ini.

“Saya sendiri sudah memulakannya dengan diri saya sendiri selaku Menteri Besar Kedah dan saya juga berharap supaya ia dipatuhi oleh semua pihak terbabit dalam pentadbiran saya.

“Kita mahu sebarang keputusan dibuat secara telus tanpa membabitkan kepentingan keluarga atau membabitkan sebarang bentuk penyelewengan yang akan merugikan rakyat dan negeri ini.

Utama kepentingan rakyat

“Saya mahu pentadbiran di Kedah bebas daripada penyelewengan dan setiap keputusan membabitkan pelaksanaan projek di negeri ini dibuat dengan mendahulukan kepentingan rakyat,” katanya pada sidang selepas majlis rumah terbuka Aidilfitri Parlimen Jerlun dekat sini, semalam. 

BH sebelum ini melaporkan, Mukhriz memberi jaminan tidak akan memberi projek perniagaan di negeri ini kepada ahli keluarganya.

Mukhriz dilaporkan berkata, beliau mahu mengelakkan keadaan yang boleh menimbulkan konflik kepentingan kepada dirinya jika ada ahli keluarganya mendapat projek perniagaan di negeri ini.

“Setakat ini, tidak ada seorang pun ahli keluarga saya nak buat apa-apa projek di sini. Saya harap ia akan kekal macam itu. Jika tak, ia akan buat saya serba salah kerana saya pasti menyinggung perasaan mereka.

“Yang saya utamakan kepentingan rakyat. Jika terpaksa pilih kepentingan rakyat dan kepentingan keluarga dalam soal perniagaan, sudah tentu saya pilih rakyat,” katanya. BH 18/8