11 February, 2011

Ketua UMNO Bahagian Merbok BOM lagi!!!

TAJUL Urus Md. Zain (kanan) menerima borang permohonan ahli-ahli PKR yang menyertai UMNO daripada Alang Kasturi di Sungai Petani, Kedah, kelmarin.
Utusan Malaysia 11/2/2011
Hilang kepercayaan, 100 ahli PKR Merbok sertai UMNO


SUNGAI PETANI 10 Feb. - Sokongan terhadap Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim di negeri ini dilihat semakin merosot apabila kira-kira 100 ahli parti itu bertindak menyertai UMNO semalam.

Ia melibatkan ahli PKR Ranting Paya Nahu dalam Cabang Merbok yang diketuai bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) ranting berkenaan, Alang Kasturi yang telah hampir 10 tahun menyertai parti itu.

Menurut Alang, tindakan tersebut diambil bersama ahli yang lain ekoran hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap pucuk pimpinan tertinggi parti terutamanya Penasihat PKR dan kepemimpinan kerajaan negeri.

"Kami sekarang sudah muak dengan perangai dan tindakan pemimpin PKR yang bertindak untuk kepentingan peribadi dan bukannya berjuang mengikut kehendak asal parti.

"Lebih kesal, PKR dan pemimpinnya hanya pandai berjanji tetapi tidak menunaikannya walaupun kami memberikan mandat kepada mereka memimpin kerajaan negeri tiga tahun lalu," katanya

Beliau menjelaskan demikian pada sidang akhbar selepas menyerahkan 100 borang keahlian UMNO kepada Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Tajul Urus Md. Zain.

Alang memberitahu, para penyokong PKR juga makin tawar hati dengan wakil rakyat pakatan pembangkang kerana gagal melaksanakan tugas dengan berkesan.

"Sudahlah masalah tidak dapat diselesaikan, wakil rakyat PKR yang dipilih kami entah hilang ke mana, muka pun jarang nampak," dakwanya.

Menurutnya, beliau dan rakan-rakan mengambil keputusan untuk menyertai UMNO sebagai ahli biasa dan akan membantu kemenangan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kelak.

"Kami akan berjuang habis-habisan untuk merampas kembali Merbok daripada pembangkang dan saya menjangkakan ramai lagi ahli yang akan mengikut jejak kami meninggalkan PKR ," katanya.

Sementara itu, Tajul Urus yang juga Penyelaras Parlimen Merbok berkata, beliau mengalu-alukan keputusan Alang dan rakan-rakannya untuk menyertai UMNO.

Beliau berkata, UMNO menerima kesemua mereka dengan hati terbuka dan berharap lebih ramai lagi akan mengikut jejak langkah mereka keluar PKR .

"Kini mereka boleh menilai sendiri sama ada perjuangan PKR benar atau sebaliknya. Kita berharap, rakyat khususnya di Parlimen Merbok dapat mengambil iktibar daripada perkara ini," katanya.

Beliau berharap, dengan penyertaan ahli baru tersebut akan memperkasakan lagi UMNO Bahagian untuk merampas kembali Parlimen Merbok daripada PKR dalam PRU13.


Berita diatas adalah satu pembohongan yang besar oleh pelakon-pelakon opera UMNO Bahagian Merbok. 

Daripada maklumat akar umbi di bawah bahawa Alang Kasturi yang konon 10 tahun menyertai PKR dan telah taubat berhijrah kepada UMNO yang sebenarnya adalah orang UMNO bekas Ketua Cawangan Flat Paya Nahu yang pergi bekerja di Johor Baharu. Menghilang diri sekita kerana beberapa hal peribadi hari ini muncul tiba-tiba.

Berita ini adalah satu pementasan opera untuk menegak benang basah oleh Ketua UMNO Bahagian Merbok kerana kepimpinan beliau sedang menghadapi kucar-kacir dipercayai akan berhadapan dengan undi tidak percaya. Cuma tidak lah sampai tunjuk perasaan seperti Presiden Hosni Mubarak di Mesir.

Malah tidak mustahil mengikut maklumat bekas risik bahawa bahan berita ini akan dijadikan bahan bukti untuk melobi kepimpinan di atas pada hari Sabtu ini semasa berjumpa Presiden bahawa beliau lah manusia yang paling layak di atas muka bumi ini untuk dicalunkan sebagai  calun Member of Parlimen Merbok seterusnya sebagai Menteri kabinet Najib.

Akhirnya yang kena Bom! ialah pengundi di bawah. Ada duit semua jadi jangan sampai kena beli.