16 January, 2011

Jangan lupa kisah ini - Anekdot Satu : Tunku mengheret bag di lapangan terbang Kaherah

Datuk Aziz Ahmad @ Aziz Antara
Perdana Menteri Malaysia yang pertama Tunku Abdul Rahman Putera Al Haj meninggal pada 10.25 malam pada 6 Disember 1990 hari Khamis semasa berusia 87 tahun.

MT ingin menceritakan kembali serba ringkas anekdot perjalanan kisah Tunku selepas beliau bersara yang mungkin ada di antara kita yang telah tahu dan mungkin ramai yang tidak tahu.

Anekdot-anekdot ini dicerita oleh sahabat karib Tunku, Datuk Abdul Aziz Ahmad atau kerap dikenali sebagai “Aziz Antara” beliau adalah seorang usahawan yang berjaya dan pengasas Syarikat Pustaka Antara.

Beliau bukan lah merupakan seorang bekas tokoh politik atau menteri kanan tetapi beliau merupakan sahabat karib Tunku yang kekal bersahabat dengan Tunku walaupun setelah Tunku tidak berkuasa lagi khasnya ketika ramai yang berjauhan dengan Tunku ketika Tunku sudah tidak menjadi PM.

Lumrah manusia semasa berkuasa seperti semut menghurung gula tetapi apabila sudah tidak ada kuasa kawan-kawan pun hilang entah kemana.

Selepas persaraan sebagai Perdana Menteri Malaysia YTM Tunku Abdul Rahman Putera Al Haj telah dilantik sebagai Setiausaha Agung Organization of Islamic Conference (OIC) yang beribu pejabat di Jeddah.

MT membahagikan kisah-kisah ini di dalam beberapa anekdot agar ianya segar difahami dan dihayati.


Anekdot Satu : Tunku mengheret bag di lapangan terbang Kaherah
Sewaktu Tunku menjadi Setiausaha Agung Sekretariat Islam di Jeddah saya sering menemuinya di Beirut, kerana itulah tempat yang paling dekat di Jeddah. Apabila Tunku telah penat bekerja dalam udara yang panas di Jeddah, beliau akan datang ke Beirut untuk berehat beberapa hari di sana. Begitu juga apabila beliau membuat lawatan ke Negara-negara Arab, Beirutlah di jadikan pusat untuk memulakan lawatan, kerana Beirut teletak di tengah-tengah.

Satu hari saya mendapat tahu Tunku akan melawat ke Negara-negara Arab dan kebetulan saya ada di Beirut. Tujuannya ialah untuk mendapatkan dana untuk secretariat seperti yang telah dijanjikan oleh Negara-negara berkenaan. Saya menunggu Tunku di lapangan terbang Beirut bersama Konsul Kehormat dan Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia di Beirut.

Tunku turun dari kapal terbang seorang diri. Saya bertanya kepada Tunku mengapa datang seorang sahaja? . Jawab Tunku “ Saya datang untuk mencari duit jadi kenalah berjimat. Kalau bawa Setiausaha kena belanja lebih, sedangkan Sekretariat tidak ada wang”.

Waktu di lapangan terbang Tunku mengeluarkan satu bungkusan dari saku bajunya dan memberikan kepada saya. Beliau menyuruh saya menyimpan bungkusan itu dan membawa kemana sahaja saya pergi. Apabila saya membuka bungkusan itu ia berisi cili api, Tunku pun tertawa.

“Saya tau hang suka makan cili” saya ketawa mendengar kata-katanya itu.

Dua hari Tunku berehat di Beirut sebelum memulakan lawatan. Dalam pada itu Tun Datu Mustapha (bekas Ketua Menteri Sabah) sampai dari London dan menginap di Hotel Vinecia, di mana kami juga menginap di Hotel yang sama.

Saya terus memberitahu Tun Datu Mustapha yang Tunku hendak ke Syria dengan teksi. Tun Datu Mustapha memarahi saya kerana membiarkan Tunku pergi dengan teksi dan beliau terus membatalkan perjalanan Tunku. Pagi esoknya Tun Datu Mustapha telah menyediakan sebuah kereta siap dengan pengawal untuk mengiringi perjalanan Tunku ke Syria.

Petangnya Tunku kembali ke Beirut dari Syria, beliau bercadang pula untuk ke Kaherah, Libya, Tunisia dan Morocco. Oleh kerana Tunku tidak berapa sihat, Tun Datu Mustapha tidak membenarkan Tunku pergi. Tun Datu Mustapha mengajak Tunku ke London untuk menerima rawatan doktor di sana tetapi Tunku menolak dengan alasan beliau sedang di dalam tugas Sekretariat. Tunku memberitahu beliau hanya ingin berehat beberapa hari dan cukup untuk menerima rawatan di Beirut sahaja.

Pada hari Tunku akan berangkat ke Kaherah, seawal pagi lagi saya menalifon Kedutaan Malaysia di Kaherah memberitahu pemergian Tunku. Umar Jundi juga menalifon ke Kedutaan, manakala Persuruhjaya Perdagangan Malaysia di Beirut mengirim telegram. Kami menghantar Tunku pada pukul 3 petang.

Lima bulan kemudian, sewaktu saya berkunjung ke Beirut, saya berjumpa Tunku lagi yang kebetulan juga berada di Beirut. Tunku menyatakan rasa kecewa beliau sewaktu lawatan ke Kaherah dahulu . Kata Tunku tiada siapa pun yang mengunggu beliau di lapangan terbang, sehingga beliau terpaksa mengurus sendiri barang-barang yang dibawanya untuk pemeriksaan kastam.

Mujurlah semasa beliau mengheret bag dan barang-barangnya untuk mendapatkan teksi, datang seorang pelajar Melayu menolong Tunku membawa barang-barangnya dan mendapatkan teksi ke hotel. Bermalamlah Tunku bersendirian di hotel pada malam itu.

Inilah pengalaman pahit yang pernah dialami oleh Tunku sebagai bekas Perdana Menteri dan sebagai Setiausaha Agung Sekretariat Islam. Duta Besar Malaysia di Kaherah ketika itu ialah Allahyarham Tan Seri Haji Khalid Awang Osman.

Ikuti Jangan lupa kisah ini - Anekdot Dua : “Roastbeef from London to Jeddah”