02 November, 2012

LEBUHRAYA SUNGAI - PENGARAH JPS KEDAH BERCANGGAH DENGAN KELULUSAN NAJIB

Najib saling tak tumpah seperti Tun Razak cara mendekati rakyat
Pentadbiran Najib sentiasa memahami denyut nadi rakyat lebih-lebih lagi golongan petani. Memahami titik peluh mereka mengerjakan sawah dan menghasilkan nasi untuk makanan setiap hari. Di atas kesedaran itu beliau meluluskan projek pembinaan 'lebuh raya sungai' bagi memudahkan air disalurkan ke kawasan sawah padi seluas 38,000 hektar di kawasan Kedah tengah.

Harapan beliau agar dengan perlaksanaan projek tersebut ia akan membawa menafaat kepada 3,000 petani agar dapat menghasilkan padi dari 2.8 metrik tan sehektar kepada 10 metrik tan sehektar. Ketika berucap merasmikan Himpunan Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Kedah di Pantai Merdeka beliau menyatakan kerajaan tidak mempunyai masalah untuk melaksanakan projek lebuh raya sungai tersebut demi memastikan kualiti hidup petani dapat ditingkatkan pada masa akan datang. 

Sebaliknya Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran negeri Kedah, Abu Bakar Othman di dalam kenyataan di dalam BH Utara 2/11/2012 menyatakan bahawa cadangan itu masih memerlukan kajian mendalam sebelum dilaksanakan sepenuhnya. Menurut beliau kajian perlu mengambil kira banyak aspek lain termasuk faktor risiko berlaku banjir di kawasan lain yang terbabit jika ia dilaksanakan. Projek ini ada kebaikan dan keburukan untuk dilaksanakan dan pertimbangan perlu dibuat samada berbaloi atau tidak.

Menurut beliau lagi buat masa ini belum ada lagi mana-mana cadangan konkrit berhubung projek ini yang dikemukakan kepada JPS Negeri Kedah dan pihak beliau sedia menjalankan kajian pada bila-bila masa bagi memenuhi aspirasi Kerajaan.

Apabila meneliti kenyataan-kenyataan ini ia amat jelas menunjukkan projek ini bakal meghadapi laluan yang berliku untuk dilaksanakan. Ini bukan projek pilihanraya. Ia sekadar dendangan halua telinga untuk menyedapkan pengundi di Kedah. Najib seharusnya mendapat penjelasan yang sejelas-jelasnya dari agensi pelaksana sebelum membuat pengumuman bukannya dari orang-orang politik.

Semoga mereka yang menyorong sampul surat memohon projek ini kepada Najib sebelum beliau berucap pada Himpunan Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Kedah di Pantai Merdeka akan bertanggung jawab mempastikan projek ini direalisasikan. Pihak JPS juga tidak dapat tidak jangan mengambil masa yang terlalu lama untuk membuat kajian.

Jika tidak slogan ‘Janji Ditepati’ akan makan tuan. Parah dan implikasinya adalah kepada batang hidung DS Najib yang sedang bekerja kuat untuk menawan kembali Kedah.