Semasa Tunku bercuti di London akhir tahun 1969 dan kebetulan saya juga ada bersamanya, saya telah memberitahu Tunku bahawa Ahmad Boestamam tidak mempunyai sebarang pekerjaan dan dia selalu datang ke tempat saya hampir setiap hari. Tiada siapa pun yang boleh menolongnya sedangkan dia boleh bekerja dengan baik. Saya meminta jasa baik Tunku agar memberi kerja kepadanya di Utusan Melayu.
“Dia selalu dok hentam kita,” kata Tunku
“Itu dulu. Sekarang dia tak buat lagi. Dia mahu hidup dengan baik. Dia mahu kembali dalam bidang penulisan” kata saya.
“Kalau begitu tak apalah. Nanti bila saya balik saya boleh panggil Utusan suruh terima dia bekerja di sana”.
Sebaik tiba di tanahair, Tunku terus mengarahkan Utusan Melayu supaya menerima Ahmad Boestamam bekerja di sana. Bekerjalah Ahmad Boestamam di Utusan atas jasa baik Tunku.
Sewaktu Tunku gering, ramailah sahabat dan rakan yang menziarahi Tunku di HBKL. Yang sering menziarahi Tunku selain daripada keluarga dan sahabat-sahabat karib beliau ialah Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad. Beliau begitu mengambil berat tentang kesihatan Tunku.
Pada malam Tunku menghembuskan nafas yang terkahir, beliau berdiri disisi Tunku dengan tidak bergerak-gerak. Sebentar-sebentar beliau membongkok menatap wajah Tunku. Pada wajah beliau jelas terbayang rasa sedih dan pilu. Inilah yang dilalkukan oleh beliau sehingga Tunku menghembuskan nafas yang terakhir, pulang ke pangkuan Allah SWT, menyambut panggilan-Nya.
Dato’ Seri Dr Mahathir terus bediri di sisi jenazahTunku, menatap wajah Tunku dengan rasa sayu dan hiba, beliau menunggu sehingalah selesai jenazah untuk diberangkatkan dan seterusnya mengiringi jenazah dari HBKL terus ke kediaman Almarhum di Bukit Tunku dan ikut serta membaca Yassin hingga lewat malam.
Esok harinya, pukul 7.30 pagi-pagi lagi Dato’ Seri Dr Mahathir berserta isteri telah sampai di rumah Almarhum Tunku dan sekali lagi menatap wajah Almarhum untuk penghabisan kalinya.
Saya tidak dapat lagi menahan airmata melihat suasana tersebut kerana Almarhum Tunku adalah seorang yang sangat saya hormati dan kasihi. Sedih dan hiba melanda suasan pagi itu, lebih-lebih lagi bila Almarhum mendapat penghormatan yang sebegitu tinggi daripada Perdana Menteri.
Di sini dapatlah saya dan kita semua maklum bahawa hubungan batin antara Perdana Menteri dengan bekas Perdana Menteri itu sangatlah erat sekali.
Pernah Tunku berkata kepada saya, “ Dr Mahathir ini baik orangnya, hatinya pun cukup baik. Waktu saya nak ke Arab Saudi untuk berjumpa Al Malik Fahd yang telah menjanjikan wang untuk Tabung Perlarian Kemboja, dia bagi saya pakai kapal terbang Kerajaan. Berapa lama nak duduk di Arab Saudi pun tak apa katanya. Ini saya tak lupalah budi baik Dr Mahathir, sungguh dia baik hati”.