Sejak tersebarnya video aksi
terlampau mirip wajah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali yang tersebar
luas di internet dan media sosial berbagai persoalan telah berbangkit. Ramai
yang tercari-cari siapa yang memfitnah Datuk Mustafa Ali dan tidak kurang juga
ramai yang tertanya-tanya samaada watak di dalam video itu fabrikasi atau
memang tulin dan asli. Malah tidak kurang juga yang terpengaruh dengan
cerita-cerita filem Hollywood dengan membuat spekulasi sendiri bahawa watak
tersebut adalah klon Datuk Mustafa Ali di mana ianya telah dirancang sebegitu
rapi oleh musuh politik beliau.
Adalah kebiasaan dalam musim pilihanraya ini setiap kali berbangkit isu tidak senonoh yang melibatkan tokoh pembangkang, UMNO lah yang akan menjadi sasarannya. UMNO dilihat mempunyai pakar-pakar dan saintis untuk klon filem dan CCTV bagi menjatuhkan maruah tokoh pembangkang.
Bukan lah satu perkara yang mudah untuk Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menjawab kepada rakyat berhubung dengan isu video tidak senonoh ini. Bermula dari tarikh 12 April 2013 video tersebut tersebar sehingga hari ini beliau terpaksa menunggu sehingga 3hb Mei 2013 untuk menjawab persoalan isu tersebut. Ia memakan masa dan waktu yang agak lama untuk menyusun maklumat dan seterusnya menjawab segala tohmahan yang dikatakan fitnah terhadap dirinya itu. Beliau kelihatan sekejap hilang sekejap timbul, sekejap ada sekejap tiada.
Sebelum ini Datuk Mustafa Ali telah mengambil keputusan untuk menutup mulut para wartawan yang sering menghujani soalan-soalan kepada beliau dengan melantik peguam Awi & Co untuk menjawab bagi pihak nya. Mungkin bimbang akan tersasul jika menjawab atau supaya tidak terburu-buru melakukan kesilapan menjawab berhubung isu tersebut. Yang sebenarnya tindakan beliau ini dilihat lebih kepada taktik melengah-lengahkan masa dengan mengheret sehingga hampir pada tarikh hari membuang undi pada 5hb Mei 2013.
Pepatah Melayu pernah menyatakan Berani kerana benar takut kerana salah. Walaupun mulut tempayan boleh ditutup dan mulut manusia juga boleh ditutup dengan mempergunakan hujah-hujah dari Al Quran dan Hadis sehingga rakyat terpesona dengan pembohongan kita tetapi hakikatnya kita tidak boleh membohongi Allah SWT.
Di dalam Surah Yaasin ayat 65 Allah SWT telah berfirman “Pada waktu itu Kami menutup mulut mereka (sejurus) dan (memberi peluang kepada)tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing) dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang telah mereka usahakan”.
Memetik dari buku Tafsir Surah Yaasin (Penawar Hati Insan) terbitan tahun 1999 karangan Abdul Hadi Awang pada muka surat 132 beliau menghuraikan bahwa pada hari kiamat kelak Allah SWT menutup mulut-mulut mereka dengan penutup yang tidak membolehkan lagi mereka untuk bercakap. Sebaliknya Allah Ta’ala menjadikan tangan-tangan dan kaki mereka sebagai saksi terhadap apa yang telah mereka lakukan di atas dunia ini.
Pada waktu itu, tangan-tangan dan kaki-kaki mereka akan bercakap sebagai saksi yang penting yang pastinya tidak dinafikan lagi dakwaannya. Kaki misalnya akan mengaku – “Benar, aku telah pergi ke panggung wayang untuk menyaksikan filem Hindi”. Tangan pula berkata “Ya, aku yang tumbuk orang, aku yang pukul orang dengan belantan kerana mereka buat demonstrasi” dan sebagainya lagi. Allah menjadikan semua anggota, tangan-tangan dan kaki-kaki mereka bercakap dengan amalan dan perbuatan yang dilakukan oleh mereka di atas dunia ini.
Menepati huraian tafsiran Hadi Awang itu yang pastinya kita tidak perlu menunggu 3hb Mei untuk mendengar penjelasan Datuk Mustafa Ali berhubung dengan isu video tidak senonoh itu. Yang pastinya beliau akan melempiaskan kepada UMNO walaupun ia dilakukan oleh musuh politik dalaman partinya sendiri. Malah apa juga penjelasan pada hari itu penyokong tegar PAS tetap sampai mati akan menyokongnya membuta tuli baik betul atau salah.
Akhirnya kita sebagai orang Islam haruslah sentiasa sedar pada bila-bila masa kita akan dipanggil berhadapan dengan Rabbuljalil dan ketika itu tangan, jari, lutut dan pinggang kita pasti akan bercakap benar dan tidak lain hanya benar belaka. Malah pada ketika itu mulut kita akan ditutup kelu dan tidak dapat mempertahankan lagi kelakuan jijik dan kemungkaran yang kita lakukan di dunia ini kerana pada ketika itu mulut sudah tidak berguna lagi dan langsung tidak boleh dipercayai kerana sering berbohong dan menipu.