AKHBAR Nanyang Siang Pau terbitan 12 Mac 2011 menyiarkan artikel tulisan pengkritik semasa, Huang Zi mengenai pelancaran buku memoir "Tun Dr. Mahathir Mohamad bertajuk A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr. Mahathir Mohamad" pada 8 Mac lalu.
Artikel yang disiarkan dalam ruangan Pendapat Yuanlun di halaman A13 akhbar berkenaan bertajuk ‘Daya ingatan Pak Mahathir’.
Menurut penulis, kemampuan penakluk dari Perancis, Napoleon Bonaparte untuk mengingati satu persatu nama perajuritnya adalah kebolehan hebat. Malangnya, beliau meninggal dunia awal pada usia 52 tahun sehingga menyukarkan semua pihak mengetahui adakah kebolehan itu semakin hilang mengikut peredaran umurnya.
Kebiasaannya, apabila usia menjangkau 70 hingga 80 tahun, seseorang itu akan ingat kembali masa silamnya satu persatu dan pada masa sama akan lupa apa yang baru dicakap dan juga tidak ingat perbuatan yang baru dilakukan sebentar tadi.
Dalam hal berkaitan, otak dan pemikiran Tun Mahathir dikatakan masih sihat dan segar lagi. Pemikirannya juga didakwa masih hebat dan canggih.
Sejak beliau menyandang jawatan Perdana Menteri sehingga melepaskan jawatan itu, apa yang beliau cakap dan laungkan sama ada jasanya atau bercakap bohong sangat banyak telah diluahkan. Banyak cerita yang beliau dedahkan dan ia seperti bulu lembu (bidalan Cina bermaksud terlalu banyak). Orang hebat yang boleh mengaku diri sendiri hebat memang seorang yang hebat.
Selain itu, beliau juga menulis biografinya sendiri, supaya orang ramai dapat membaca ‘inilah sejarah saya yang sebenar’. Mengikut Tun Mahathir dalam bukunya, beliau hanya mengikut arahan Yang di-Pertuan Agong supaya memecat Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Salleh Abas.
Tun Salleh yang begitu kecewa dan tidak mahu lukanya berdarah kembali, memilih tidak menjawab isu-isu yang dibangkitkan dalam buku itu. Ini menyebabkan kes berkenaan terus menjadi tanda tanya mengenai apa sebenarnya yang berlaku.
Menurut Tun Mahathir, beliau diberikan sambutan dingin semasa melawat Singapura semasa baru menjawat jawatan Perdana Menteri. Ketika ingin bertemu dengan Perdana Menteri republik itu, Lee Kuan Yew, beliau hanya disambut pegawai protokol dan Kuan Yew hanya muncul selepas 15 minit.
Dikatakan juga beliau berjumpa dengan Presiden Singapura, Benjamin Henry Sheares dan mereka berbincang selama 20 minit dan pembantu presiden didakwa menuangkan teh sebagai isyarat memaksa perbincangan itu ditamatkan segera.
Tetapi apa yang dijawab oleh Singapura adalah ketika lawatan itu, Kuan Yew sendiri menyambut Tun Mahathir di lapangan terbang. Pada masa itu, Sheares telah pun meninggal dunia dan beliau sebenarnya mengadakan perjumpaan dengan Presiden lain iaitu Devan Nair dalam satu majlis makan tengah hari.
Nampaknya, daya ingatan Tun Mahathir lebih teruk daripada Napoleon. Beliau tidak dapat lagi melawan usia yang semakin tua. Kesahihan daya ingatan beliau mengenai peristiwa silam boleh dipertikaikan dan perlu dikaji selidik untuk mencari kebenarannya.
Sebab itu, ungkapan ‘sejarah saya’ yang disebut Tun Mahathir sebenarnya hanya bertujuan menyedapkan telinga orang ramai sahaja. - Sumber Isu-Isu Akhbar Cina Utusan Malaysia