JERLUN 28 Sept. - UMNO Kedah mencadangkan supaya calon- calon di
semua peringkat dalam pemilihan parti itu bulan depan diberi peluang dan
ruang berjumpa serta memperkenalkan diri dengan perwakilan kerana tidak
semua daripada mereka dikenali.
Pengerusinya, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, terdapat rungutan dan
aduan daripada calon-calon mengenai tataetika pemilihan parti kali ini
yang dilihat agak mengongkong serta menyekat pergerakan mereka untuk
memperkenalkan diri.
Kata beliau, pihaknya memahami tataetika itu bertujuan memastikan
tiada sebarang perkara yang boleh memudaratkan parti tersebut tetapi
pada masa sama sangat penting untuk setiap calon diberi peluang bertemu
perwakilan dan memperkenalkan diri.
"Tidak semua daripada mereka mendapat faedah daripada liputan media yang meluas. Ramai dalam kalangan calon tidak dikenali.
"Calon-calon baharu ini tampil ke depan kerana ada sesuatu yang
hendak disumbangkan kepada parti, mereka juga ada kelebihan tertentu,"
katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Potensi Kanak-Kanak
Tabika Kemas peringkat negeri di Alor Biak, di sini hari ini.
Mukhriz berkata, beliau bimbang dengan tataetika pemilihan UMNO yang
dikeluarkan baru-baru ini boleh memberi kekangan di peringkat badan
perhubungan negeri untuk mengatur lebih banyak program atau majlis
perjumpaan calon dengan perwakilan.
Berikutan itu, pihaknya berharap urusetia dan pengurusan UMNO
mempertimbangkan agar calon-calon dibenarkan berjumpa perwakilan dengan
syarat mereka memaklumkan kepada pejabat perhubungan UMNO negeri bagi
memantau perjalanan majlis supaya tidak berlaku perkara yang melanggar
tataetika pemilihan.
"Kelonggaran itu memberi ruang dan peluang kepada semua calon
bergerak dan berjumpa dengan perwakilan tanpa rasa bimbang dikenakan
tindakan disiplin atau digugur kelayakan bertanding selain dapat
membantu perwakilan menilai sendiri semua calon," ujar beliau. (Utusan)
salam.Tuan harap sudi Linkkan Blog http://puterasniper.blogspot.com ke Blog Tuan..
ReplyDelete