25 July, 2014

LADA SEBAGAI PENGURUS LANGKAWI GEOPARK HARUS BERTANGGUNG JAWAB

LAPORAN di sebuah portal berita yang mengatakan Langkawi menerima kad kuning daripada Unesco dan berkemungkinan besar bakal kehilangan status 'global Georpark' agak merunsingkan.
 

Ini kerana jika pulau pelancongan ini kehilangan status berkenaan, bermakna Geopark kita bukan lagi bertaraf dunia dan dikhuatiri jumlah pelancong akan merosot jika perkara ini tidak diambil serius dan ditangani dengan bijak.
 

Namun setelah mendapatkan maklum balas daripada Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), ternyata laporan itu tidak tepat dan Langkawi masih pemegang kad hijau sejak Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) mengiktiraf pulau legenda itu sebagai Geopark pada 2007.
 

Sinar Harian mendapatkan pula Presiden Friends of Langkawi Geopark (Flag), Datuk Kamarulzaman Abdul Ghani bagi mendengarkan pandangannya berhubung isu ini.
 
Langkawi mempunyai masa tidak sampai setahun sebelum pihak Unesco datang membuat penilaian semula berhubung status Geopark yang diperolehnya pada 1 Jun 2007? Pada pandangan Flag, adakah kita sudah bersedia untuk menghadapi penilaian pada 2015 ini?
 
Kita belum bersedia dan sebab itulah Flag ditubuhkan. Sejak Penilaian Pertama 2011, profil dan kesedaran masyarakat Langkawi dan pengunjung terhadap Langkawi Geopark masih rendah. Walaupun Blueprint Pelancongan Langkawi mengenal pasti Geopark sebagai penting tetapi kerajaan memperkenalkan pula jenama baru ‘Naturally Langkawi’ dan tidak mengimarahkan Geopark secara khusus. Ini dilihat sebagai langkah ke belakang dalam memartabatkan Langkawi Geopark yang bertaraf dunia di bawah Unesco.

 
Sekiranya Langkawi gagal mengekalkan status ini? Apakah bentuk-bentuk kerugian yang bakal menimpa Langkawi?
 
Langkawi akan kehilangan status global terhadap keistimewaan Langkawi. Langkawi Global Geopark adalah satu-satunya pengiktirafan dunia yang pernah diterima Langkawi dalam sejarahnya. Dalam arena pelancongan dunia di mana status dan anugerah menjadi sandaran penting dalam promosi destinasi, ini merupakan kerugian besar kepada Langkawi dan negara.


Apakah peranan Flag dalam membantu Langkawi mengekalkan status Geopark ini?
 
Wujudnya Flag sudah amat membantu kerana pihak Unesco melihat penyertaan masyarakat dalam Geopark sebagai suatu kriteria penting. Gerakan komuniti melalui Flag dalam menjayakan aktiviti berkaitan Geopark akan memberi markah tinggi dalam penilaian semula Geopark oleh Unesco. Pada awal tahun ini, Flag telah memberi pandangan rasmi berhubung Geopark kepada Pengurus Geopark iaitu Lada.

 
Apakah syarat-syarat yang membolehkan Langkawi mendapat status Geopark dari Unesco pada asalnya?
 
Syarat utama ialah keistimewaan Langkawi dari sudut warisan geologi. Dikenali sebagai geo-diversiti, ia meliputi fitur bumi, laut, tasik, pantai, gua, air terjun, pulau dan sebagainya. Kajian saintifik mesti telah dilaksanakan, contohnya Langkawi terbukti mempunyai sejarah bumi yang lengkap di mana diketahui Gunung Mat Chinchang ialah daerah tertua dan menjadi tempat lahirnya bumi Malaysia 550 juta tahun dahulu.
 
Tambahan kepada itu ialah kepelbagaian bio meliputi fauna dan flora. Paling penting ialah kawasan Geopark mesti ada penghuni dengan warisan budayanya.
 
Langkawi, dengan 99 pulau sekitarnya menepati segala syarat untuk menjadi Geopark dunia yang sangat baik.


Apakah syarat-syarat yang Langkawi telah langgar atau gagal patuhi yang boleh menyebabkan ia berpotensi kehilangan status global Geopark?
 
Unesco tidak menetapkan syarat tetapi memberi garis panduan. Langkawi belum menerima kad kuning tetapi bakal menerimanya dalam tahun 2015 sekiranya kita lalai, tidak berminat atau tidak mampu menghidupkan Geopark. Paling utama ialah kesedaran bahawa kita adalah sebuah Geopark dan kita mempromosinya untuk tujuan memajukan industri pelancongan, di mana komuniti setempat mendapat faedah. Usaha membina profil dan jati diri Geopark ini masih lemah. Program menyebarkan ilmu terhadap warisan bumi dan usaha pemuliharaan masih perlu digiatkan seperti juga dengan penjagaan alam sekitar dan kebersihan.

 
Apakah tindakan pembetulan yang telah diambil bagi membolehkan penilaian seterusnya memihak kepada Langkawi?
 
Pada Januari 2014, Flag telah menulis kepada Pengurus Geopark (Lada)  memberi cadangan khusus untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap Langkawi Geopark.

 
Apakah bentuk keuntungan yang Langkawi peroleh menerusi status Geopark ini?
 
Kemasukan pelancongan 2013 ialah 3.4 juta, rekod tertinggi bagi Langkawi. Tidak dapat dipastikan kerana Geopark. Tetapi sekiranya promosi kita mengetengahkan keistimewaan Geopark dan pengiktirafan dunia (Unesco), maka Flag yakin ia mampu melonjakkan lagi kemasukan pelancong luar dan dalam negara kerana ia dikira niche baru dalam dunia pelancongan. 


Kesan limpahan ekonomi akan dapat dinikmati oleh peserta industri, juga dalam bidang berkaitan dari segi peluang pekerjaan, pemandu pelancong, operator bot, cendera hati, hotel, homestay, pengangkutan darat serta udara dan sebagainya. 

Selain itu, konsep Geopark menjamin kelestarian pembangunan dan penggunaan sumber warisan alam tabii untuk terus dikecapi oleh generasi selepas kita. - Sumber Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

(Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.