Allahyarham Tan Sri Aishah
Ghani merupakan seorang tokoh veteran pejuang UMNO mengibaratkan politik itu
adalah seperti candu baginya. “Politik itu candu mak” kata Tan Sri Aishah Ghani
seperti yang dicerita oleh anak sulungnya, Shahirudin Abd Aziz, 65, ketika mengulas
perjuangan ibunya.
Begitulah ibaratnya kepekatan dan
tulinnya perjuangan Tan Sri Aishah Ghani seorang yang banyak berjasa kepada
bangsa dan agamanya. Mungkin ramai yang
tidak sedar antara perjuangan atau tindakan yang mungkin dirasakan kecil dan
pernah ditertawakan ialah apabila Tan Sri pernah mengusulkan supaya semua hotel
diwajibkan meletakkan tanda arah kiblat. Ternyata hari ini tindakan itu membawa
pengertian yang amat besar kepada umat Islam yang menginap di hotel-hotel
setidak-tidaknya peringatan untuk bersolat serta tidak melakukan maksiat kerana
Allah itu Maha Melihat.
“Candu” selain daripada membawa
maksud kesetiaan tegar di dalam politik ia juga sudah pastinya akan membawa
keresahan dan rasa ketagih jika tidak dapat berpolitik. Sebenarnya ketagihan
orang poltik merupakan ketagihan yang luar biasa.
Maka tidak hairanlah jika
terdapat penghijrahan beberapa tokoh veteran UMNO memasuki parti pembangkang
kerana ketagihan ‘candu’ politik. Dan yang terbaru ialah Tan Seri Muhammad Haji
Muhammad Taib bekas Menteri Besar Selangor yang merupakan tokoh UMNO yang yang
dikira kental di dalam perjuangan UMNO selama 48 tahun keluar UMNO untuk
mencari pelantar politik PAS. Mungkin kesepian di dalam UMNO membuat mereka
keluar mencari ‘candu’ di dalam parti
pembangkang. UMNO kini yang sedang berada di dalam zon transisi evolusi membuatkan
mereka sudah tidak relevan lagi dan mereka berhadapan dengan situasi yang sudah
tepu serta tidak ada tempat kerana dipenuhi generasi pelapis.
Ketika berada di era kehebatan
mereka di dalam UMNO dahulu, mereka lah yang kuat menyuntik semangat juang untuk
generasi pelapis UMNO. Ucapan mereka berapi-api meremangkan bulu roma diselang
seli tepukan gemuruh disamping bergema laungan
“Hidup UMNO! Hidup UMNO! Hidup UMNO!, UMNO Dulu Kini Dan Selamanya”.
Sebaliknya apabila generasi ini
berkobar-kobar menyahut seruan mereka dan apabila tiba giliran generasi pelapis
ini mengambil alih kepimpinan UMNO, mereka mula cemburu dan semangat juang yang
mereka laung-laungkan selama ini luntur, lembek dan kendur. Ia ibarat tinggal
sarung yang kosong sudah tidak ada rohnya lagi.
Warna sebenar diri mereka kini
terserlah. “Dulu, Kini dan Selamanya” hanyalah retorik dan alat untuk merebut
kuasa dan kepentingan politik mereka sahaja.
Apabila kemanisan UMNO habis diperah kini mereka mula berkata UMNO sudah
tidak ada roh lagi dan konon PAS yang ada roh. Pembangunan fizikal juga dipersalahkan
kerana konon tidak ada roh.
Hari ini apabila berada di atas
pentas PAS, wajah mereka berubah dan nada ucapan juga sudah bertukar. Yang
lembut menjadi bengis. Mereka berpeluk-peluk erat dengan pemimpin-pemimpin pembangkang
yang pernah memaki hamun mereka dan parti mereka dahulu malah pernah
mengkafirkan mereka. Mereka beralih arah 360 darjah menghentam kromo
pemimpin-pemimpin UMNO generasi kini. Generasi yang mereka semai dan bentuk
dahulu. Semua dasar hari ini dipersalahkan seolah-olah mereka tidak terlibat
langsung dengan pengubalan dasar tersebut semasa di zaman keagungan mereka.
Apabila ini berlaku mereka
kelihatan seperti beluncas di atas pentas menelan ludahan yang mereka kahakkan
dahulu. Generasi pelapis memerhati mereka dengan penuh kecelaruan seperti badut
sarkas yang sudah pencen menghibur dengan lawak-lawak pandir yang sudah
‘outdated’. Penat jerih keringat pemuda yang menjulang mereka, yang
mengagung-agungkan mereka, yang menaikkan mereka dan yang menggantungkan poster
mereka setiapkali mereka bertanding dalam pilihanraya masih lagi terasa
basahnya.
Kini mereka mencari roh di
dalam PAS. Realitinya di dalam PAS sendiri sudah tidak ada roh lagi hanya
tinggal kulit manakala isinya sudah tergadai. Mana ada rohnya jika demi kuasa
dan politik kalimah Allah SWT sanggup dipertaruhkan dengan sewenang-wenangnya. Seharusnya
mereka sedar bahawa roh PAS kini sudah berada di kaki Karpal Singh dan Lim Kit
Siang, individu-individu inilah yang nyata sehingga mati mereka akan menentang
Islam secara terang-terangan.
Buktinya amat nyata apabila kemasukan mereka sendiri ke dalam PAS
pun ditentang hebat oleh Karpal Singh kerana rekod buruk mereka dahulu. Mungkin Karpal Singh cukup
sensitif ingin menjaga kesucian PAS dari tercemar dengan individu yang pernah curang
dan berdosa. Sesungguhnya Karpal Singh tidak dapat mengampunkan dosa mereka
yang dahulu.
Hakikatnya bukan roh yang
dicari olehTan Seri Muhammad Mohd Taib tetapi beliau dilanda ketagihan ‘candu’
politik.
No comments:
Post a Comment
(Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.