23 May, 2011

Ketua Hakim Negara diserang dua kali serangan jantung hari ini

PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi dipercayai berada dalam keadaan kritikal setelah terjatuh di Wad ED, Hospital Putrajaya pagi Isnin.

Difahamkan beliau mengalami tekanan darah rendah dan komplikasi jantung.

Menurut sumber terdekat dengan beliau, Zaki mengalami serangan jantung sebanyak dua kali pagi tadi.

Beliau dikatakan mengalami serangan jantung secara tiba-tiba di rumah dan kali kedua ketika berada di Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan.

"Saya mendapat panggilan telefon daripada pengawal peribadi beliau (Tun Zaki) yang mengesahkan beliau kini berada dalam kritikal.

"Isteri beliau turut berada di sisinya kini," kata sumber itu kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Isnin.

Bagaimanapun, beliau kini telah dibawa ke Institut Jantung Negara (IJN), untuk rawatan susulan.

Zaki, 64, dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 18 Oktober 2008 dan beliau merupakan pengerusi pertama bagi Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman sejak penubuhannya pada 16 Februari 2009.

Beliau dilahirkan pada 12 September 1945 di Alor Setar, Kedah dan mendapat pendidikan awal di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, Sekolah Anderson, Ipoh dan English College, Johor Baharu.

Pada 1969, beliau telah melanjutkan pengajian di Lincoln's Inn, London dan dianugerahkan Barrister-at-Law.

Beliau merupakan anak bekas Ketua Hakim Negara (1966-1974), Allahyarham Tun Mohamed Azmi Mohamed.

Beliau berkahwin dengan Puan Sri Nik Sazlina Mohd Zain dan mempunyai 4 anak iaitu Dzofrain Azmi, Razif Azmi, Azri Azmi dan Azfar Azmi. (Sumber mstar online)

1 comment:

  1. dah tua mcm tu lah, sana sakit sini sakit......
    inilah legasi paklah terakhir, dlu dgr kata dia dok berubat di thailand, betul ka??????
    bersedialah negara utk lantik hakim baru.....

    ReplyDelete

(Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.