Oleh : Hasan Mohd Nor
Arkib Utusan Malaysia (10/9/2012)
SINGKIR anggota UMNO yang cuba sabotaj calon parti semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Itulah amaran UMNO. Tentunya parti-parti politik lain termasuk parti komponen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang mempunyai pendirian yang sama. Cuma sejauh mana keupayaan atau kekuatan parti politik mahu melaksanakannya.
Ada parti yang begitu 'sayang' dengan anggota berkenaan dan terpaksa 'menyimpannya' kerana pertimbangan politik tertentu. Tetapi secara keseluruhannya, mana-mana parti politik sudah tentu akan menyingkirkan anggota yang tidak setia kepada parti, lebih-lebih lagi sehingga mensabotaj calon pada PRU. Lebih malang jika tindakan sabotaj itu menyebabkan calon parti kalah kepada calon lawan.
Banyak faktor yang menyebabkan anggota parti mengambil tindakan sabotaj lebih-lebih lagi menjelang PRU.
Sabotaj, cah keting atau tendang betis kawan sudah menjadi lumrah politik. Disebabkan tidak dipilih menjadi calon atau calon pilihannya tidak dipilih, maka kesetiaan kepada parti tiba-tiba hilang begitu sahaja. Mereka ini mudah merajuk dan berkecil hati, tidak mempunyai jiwa besar kepada parti. Jika selama ini, seseorang itu bekerja keras untuk memastikan kemenangan parti di kawasannya tetapi disebabkan pemilihan calon tidak kena dengan 'seleranya', mereka sanggup menongkah arus.
Mereka ini kecewa apabila dirinya atau calon pilihan tidak terpilih. Lebih marah lagi apabila ada calon 'payung terjun'. Bagi orang seperti ini, matlamat sebenar politik bukan untuk parti, bangsa, agama dan negara sebaliknya mahu mengejar kuasa, jawatan, kekayaan dan keuntungan atas nama politik.
Mereka ini mahu calon pilihan 'naik' untuk kepentingan diri atau kumpulan tertentu. Mereka lupa kepentingan orang lain dan masyarakat. Inilah sikap anggota parti yang hanya mahu 'mencari makan' melalui politik. Mereka tidak peduli soal masa depan, maruah dan integriti parti yang diwakili. Mereka sanggup melakukan apa sahaja demi cita-cita peribadi.
Lebih malang lagi apabila sabotaj ini bukan sahaja melibatkan anggota di peringkat akar umbi tetapi juga di peringkat pemimpin.
Pemimpin melakukan sabotaj dengan menggunakan 'tangan-tangan' tersembunyi untuk memberi tekanan kepada kepimpinan parti. Menjelang PRU ini, tidak dinafikan ada yang sanggup melakukan pelbagai tindakan semata-mata mahu menunjukkan pengundi masih memerlukannya sebagai wakil rakyat di kawasan berkenaan. Memorandum, kempen tanda tangan, petisyen dan sebagainya dihantar kepada pemimpin untuk menarik perhatian.
Justeru BN sama ada UMNO, MCA, MIC, Gerakan, PPP dan sebagainya perlu berani bertindak. Itu pun jika pemimpin masih mahu bercakap mengenai model politik yang mengutamakan integriti.
Tetapi adakah parti politik perlu menunggu sehingga selesai PRU untuk mengambil tindakan? Mungkin jika calon yang disabotaj masih menang, perasaan marah parti boleh terubat tetapi bagaimana jika calon itu kalah? Bak kata orang ketika itu nasi sudah menjadi bubur! Kekalahan yang berlaku akan merosakkan segala-galanya.
Memang sukar untuk mengenal pasti anggota parti yang akan bertindak mensabotaj parti menjelang PRU. Mereka ini ibarat musuh dalam selimut, api dalam sekam, gunting dalam lipatan atau musang berbulu ayam yang akan bergerak tanpa disedari oleh pimpinan parti. Mereka ini tiba-tiba 'menikam dari belakang'. Inilah yang ditakuti oleh mana-mana parti politik menjelang PRU.
Sukar juga untuk mencari pemimpin atau anggota parti yang secara sukarela mengisytiharkan dirinya sebagai gunting dalam lipatan atau musang berbulu ayam.
Siapa sangka, anggota parti yang sudah berpuluh tahun bersama, mendapat nikmat yang tidak terhingga semasa berjuang dalam parti atau parti mempertahankannya serba sedikit akibat 'kepincangan' yang dilakukannya selama dalam parti atau kerajaan akhirnya melangkah keluar. Disebabkan kecewa atau merajuk dalam satu dua perkara, 'bunga' yang selama ini dianggapnya harum semerbak bertukar menjadi 'busuk yang teramat busuk'.
Tetapi tindakan mereka meninggalkan parti menjelang PRU adalah lebih baik dan bermaruah (walaupun sebenarnya tidak ada maruah politik) daripada menunggu sehingga saat-saat akhir PRU akan diadakan.
Maka eloklah berundur sebelum terjebak melakukan pengkhianatan terhadap parti yang diwakili. Pada masa yang sama, jika sekalipun disedari ada anggota yang cuba sabotaj, agak sukar bagi pimpinan parti untuk mengambil tindakan terhadap orang seperti ini kerana dibimbangi akan memberi kesan yang lebih besar menjelang PRU.
Mahu tidak mahu mereka yang dikenal pasti sebagai orang yang bertanggungjawab melakukan sabotaj akan disimpan dahulu dan dikenakan tindakan selepas berakhirnya PRU. Sama ada calon yang diturunkan parti itu menang atau kalah, pihak yang melakukan sabotaj perlu dihukum. Tiada maaf dan tiada kompromi bagi mereka!
Namun sebelum berlaku sabotaj, beberapa perkara perlu diberi perhatian.
Kenapa sabotaj atau cah keting berlaku? Seperti disebut pada awal tulisan ini, antara puncanya ialah kerana merajuk disebabkan tidak dipilih sebagai calon atau calon bukan pilihan kumpulan tertentu.
Menjelang PRU, pemimpin parti sudah beberapa kali menyatakan kriteria calon untuk dipilih.
Harus diingat, jawatan di peringkat bahagian bukan lesen mutlak untuk melayakkan mereka dipilih sebagai calon. Maka bersedialah untuk menerima keputusan pucuk pimpinan parti walaupun selama ini mereka sudah bekerja keras, banyak masa dan duit dihabiskan.
Sabotaj juga berlaku disebabkan rasa tidak puas hati terhadap pemimpin yang gagal menyelaraskan pelbagai aktiviti menjelang PRU.
Sesuatu yang sering didengar ialah mengenai peruntukan menghadapi kempen PRU yang tidak sampai ke bawah. Akhirnya berlakulah sabotaj seperti tidak menampal poster, menutup bilik gerakan, tidak mengatur ceramah kempen dan macam-macam lagi. Hakikatnya, sabotaj bukan sekadar berlaku kerana tidak dipilih sebagai calon. Masih ada faktor lain yang mempengaruhi tindakan sabotaj ini.
Akhirnya, kemenangan calon bergantung kepada sejauh mana kesetiaan seseorang anggota parti sama ada ia bertaraf pemimpin atau anggota di peringkat akar umbi. Tanpa kesetiaan dalam perjuangan, maka seribu satu kemungkinan akan berlaku. Bagi UMNO, slogan Bersatu, Bersetia, Berkhidmat perlu dijadikan pegangan anggotanya. Mereka harus bersatu, setia dan berkhidmat kepada parti dalam apa keadaan sekali pun. Maka terimalah sebarang keputusan pucuk pimpinan parti dalam menentukan siapa yang dianggap calon boleh menang untuk menghadapi PRU yang dianggap sukar ini.
Mungkin elok diamati kenyataan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Ahmad Bashah Md Hanipah semalam mengenai kesediaannya menerima keputusan pucuk pimpinan parti sekiranya tidak dipilih sebagai calon PRU. Mungkin ramai lagi ketua bahagian atau pengerusi perhubungan yang senada dengannya.
Menurut Ahmad Bashah, beliau tidak akan terkilan jika tidak dipilih semula setelah empat penggal menjadi wakil rakyat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bakar Bata.
"Ini pengakuan ikhlas saya. Yang penting kita jangan khianati parti dan pucuk pimpinan. Jika tidak terpilih, saya pasrah dan rela," katanya.
Inilah semangat yang perlu ada kepada setiap anggota parti yang bercita-cita besar untuk menjadi calon PRU akan datang.
Tepat sekali Dato' Bashah kata...tapi terdapat ramai pengganas kiram gila...ya gila sejak awal mengugut akan mensabotaj UMNO seandainya orang yang mereka harap dipilih sebagai calon tak terpilih..desas desus ni telah pun terdengar dalam UMNO Bhg Pdg Serai..tapi apa UMNO buat...mereka mengugut diberikan kepercayaan sebagai tentera elit dalam jentera PRU UMNO.....
ReplyDelete