21 January, 2011

Kemenangan Ana Raffali AJL25 jangan dipertikai

Antara Ana Raffali dan juri ‘mulut tempayan’
(Utusan Malaysia 21/1/2011)
SAYA ingin menyentuh mengenai kemenangan Ana Raffali sebagai juara dalam Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-25 yang sehingga kini masih menjadi topik perbualan lantaran rasa tidak puas hati pihak tertentu mengenai kemenangan tersebut.

Pihak tersebut mungkin beranggapan sebagai pendatang baru yang mencipta, menulis lirik dan menyanyikan sendiri lagu Tolong Ingatkan Aku, Ana Raffali tidak layak menduduki takhta juara.

Apakah salah Ana Raffali? Dia bukan ‘membeli’ atau meminta untuk menang. Dia sekadar menerima kemenangan yang diberi oleh panel juri dalam pertandingan tersebut.

Malah apa yang saya hairan, ada di antara anggota panel juri yang dengan bangga turut secara terbuka mempertikaikan keputusan tersebut. Mereka ini bagai ‘mulut tempayan’. Mereka tumpang semangkuk dengan segelintir orang yang mempertikaikan kemenangan Ana Raffali.

Kenapa perlu dipertikai kemenangan Anna Raffali? Saya tidak arif dalam hal muzik tetapi pada saya apabila keputusan sudah dibuat oleh juri, ia harus diterima dengan hati terbuka. Itu adalah rezeki Anna Raffali.

Kita tidak harus mempertikaikan kemenangan orang lain semata-mata kerana orang atau lagu yang kita harapkan akan menang tetapi gagal. Kita tidak boleh hanya menerima sesuatu keputusan yang memihak kepada kita, tetapi jika sebaliknya kita bantah. Ini bukan sikap orang waras. Adat bertanding, ada kalah ada menang.

Pertandingan Anugerah Juara Lagu ke-25 telah mengudang barisan juri yang pada saya hebat-hebat dalam dunia muzik tanah air. Keputusan mereka mesti dihormati walaupun jika keputusan itu tidak kita sukai. Mereka lebih tahu mengenai muzik dan mereka ada penilaian sendiri.

Namun dalam hubungan ini saya amat kesal kerana ada di antara anggota juri sendiri mempertikaikan keputusan berkenaan. Sikap ini amat tidak profesional. Mungkin di kalangan juri ada penilaian tersendiri, namun keputusan majoriti mesti dihormati.

Sebagai anggota panel juri, semangat ‘tanggungjawab bersama’ mesti dihormati. Jangan pertikaikan atau menuding jari kepada anggota juri yang lain. Pada saya anggota juri yang bersikap sebegini amat memalukan dan amat rendah nilai profesionalismenya. Jangan undang lagi orang-orang seperti ini menjadi juri pada mana-mana pertandingan akan datang.

Kepada Anna Raffali jangan pedulikan apa anggapan atau kritikan orang. Jadikannya sebagai cabaran dan dorongan untuk terus memajukan diri. Biarlah mereka yang mengkritik menjadi ‘Luncai yang terjun dengan labu-labunya’.

MAT GITAR
Ipoh, Perak

No comments:

Post a Comment

(Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.