Selepas dua tahun Haji Omar memegang jawatan sebagai ahli exco yang bertanggungjawab ke atas hal-ehwal perhutanan, beliau ditukarkan ke portfolio agama dan pendidikan yang sebelum ini dipegang oleh Menteri Besar sendiri. Ini adalah kehendak Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan, kerana baginda mahu seorang ulama mengepalai pentadbiran agama.
Haji Husin berasa sangat gembira kerana sahabat karibnya tentu sekali akan bersetuju bertindak ke atas segala cadangannya di dalam Dewan supaya perkara-perkara yang merosakkan akidah dan keimanan orang-orang Islam dihapuskan.
Haji Husin teringat kepada suatu peristiwa di mana beliau mengheret Haji Omar dan Haji Ismail keluar dewan jamuan, apabila minuman keras disajikan di dalam suatu jamuan Duta Amerika yang berkunjung ke Kedah. Menteri Besar berasa amat malu dengan tindakannya itu. Apabila disuarakannya kepada Haji Husin mengenai perasaannya itu, Haji Husin menjawab,
“Saya minta maaf kalau YAB dimalukan oleh saya.Tetapi YAB perlu lebih malu kepada Allah SWT kerana melanggar perintahNya semata-mata hendak meraikan seorang kafir. Dia datang ke rumah kita. Justeru apa yang kita minum dia mesti minum. Apa salahnya kita sajikan air buah-buahan. Wang yang kita belanja untuk makan minum di majlis itu adalah dimiliki rakyat. Kita yang bertanggungjawab mempastikan wang itu tidak dibelanjakan di jalan yang haram. Mungkin saya tidak sedemikian kalau wang yang digunakan membeli minuman keras itu adalah kepunyaan YAB sendiri”.
Haji Husin mengingatkan Haji Omar agar perkara sebegini tidak diulangi lagi oleh Kerajaan Negeri. Dia mahu Haji Omar menjadualkan beberapa tindakan yang perlu untuk menghapuskan maksiat di kalangan masyarakat umum.
Perasaan tidak senang hati di kalangan ahli-ahli exco (selain daripada Haji Omar) terhadap Tok-Tok Guru ahli Dewan memuncak apabila Haji Omar meminta pegawai-pegawai Jabatan Agama merobohkan rumah-rumah maksiat di Lorong Pattani atau diberi jolokan Lorong Selak Kain oleh penduduk tempatan. Lorong di depan sekolah menengah terkenal, Sultan Abdul Hamid College, merupakan pusat pelacuran harga murah semenjak zaman British lagi. Usahawan pelacuran di situ yang bernama Kak Mah,membina pondok-pondok kecil di perkarangan rumahnya yang luas, bertujuan memberi kemudahan kepada perempuan-perempuan sundal menjual tubuh mereka,siang dan malam.
Pondok-pondok kecil inilah yang dirobohkan , bukan rumah Kak Mah yang tersergam indah itu.Yang menjadi punca ketidaksenangan hati ahli-ahli exco itu ialah tindakan Haji Omar melampaui bidang kuasanya. Beliau diberi portfolio agama dan pendidikan, mengapa dia campur tangan ke dalam portfolio orang lain, iaitu portfolio Hal Ehwal Majlis Perbandaran di bawah tanggungjawab YB Dr. Lim Joo Kong.
Mesyuarat exco yang menyusul peristiwa itu menjadi panas apabila Menteri Besar sendiri memarahi Haji Omar.
“Mengapa YB melanggar bidang tanggungjawab YB Dr.Lim ? Bukankah tindakan itu salah dari segi prosedur?”
“YAB, saya mengambil tindakan itu atas nama Kerajaan Negeri bukan atas nama saya sendiri. Sudah beberapa lama rumah-rumah maksiat itu didirikan secara haram,tiada tindakan diambil walaupun banyak kali disuarakan oleh YB Haji Ismail di dalam Dewan”.
“Mengapa tidak tunggu saya mengambil tindakan?” celah YB Dr.Lim.
“Berapa lama hendak menunggu saya? YB Haji Ismail mula membawa perkara ini lebih dua tahun yang lalu. Lagi lama kita tunggu lagi banyak anak muda kita terjerumus ke dalam lembah maksiat!”, Haji Omar menyoal balik.
“Di dalam hal ini kita mesti bersabar,kerana umum nanti menganggap kerajaan tergesa-gesa mengabil tindakan meroboh rumah orang tanpa member notis terlebih dahulu”, ujar Menteri Besar.
Haji Omar naik berang dan terus membentak, ”Dato’, saya bertindak ke atas suatu perbuatan maksiat. Baik di dalam undang-undang akhirat mahu pun undang-undang manusia, persundalan adalah satu jenayah. Perbuatan maksiat tidak perlu diberi notis sebelum tindakan diambil. Mengapa Dato’ melihat isu ini dari sudut yang meruntuhkan rumah-rumah kecil yang sememangnya dibina secara haram itu? Adakah salah di sisi undang-undang negeri kalau rumah-rumah haram diruntuh tanpa notis?”.
“Tidaklah salah,tetapi kita mestilah member notis supaya mereka dapat keluar dari rumah-rumah itu dahulu”, tegas Menteri Besar.
“Keluar ke tempat lain untuk meneruskan kerja pelacuran?”,Tanya Haji Omar kebingungan,dan beliau menyambung, “Dato’,Negara kita mempunyai pekerjaan halal.Mengapa perempuan-perempuan ini memilih kerja ini? Jawapannya kerja ini senang dan pulangannya lumayan. Mereka lupa dosanya adalah dosa bersar! Dan kita sebagai pentadbir negeri dan pemimpin akan menanggung dosa kalau membiarkan penyakit sosial ini berterusan”.
“Bagaimana dengan prosedur?”, soal YB Lim.
“YB sibuk dengan prosedur.Kita yang mencipta prosedur itu. Mengapa kita tidak boleh mengubahnya?” jawab Haji Omar kesabarannya hilang.
Di atas adalah sedutan dari novel hasil tulisan Dato’ Dr Affifuddin Hj Omar, yang berjudul “Mujahid Agung, Kisah seorang pejuang kemerdekaan”. Beliau dilahirkan di Kampung Kubang Lembu, Jitra, Kedah pada 27 Mei 1943. Beliau mula menulis novel yang pertama pada tahun 2009 di masa bersara daripada karier politiknya.
Pengalamannya sebagai seorang pegawai kanan kerajaan, pengerusi bank, Timbalan Menteri dan beberapa NGO telah menyumbangkan banyak idea sebagai asas kepada penulisan beliau.
No comments:
Post a Comment
(Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.