31 October, 2013

PERMOHONAN MAAF TPM DITERIMA KELUARGA ALLAHYARHAM USTAZ AZIZAN

Puan Sri Faekah Sheikh Hamzah
ALOR SETAR - Permohonan maaf Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada keluarga Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak diterima dengan hati terbuka oleh isteri Azizan, Puan Sri Faekah Sheikh Hamzah.

“Saya sedia memaafkan dan percaya kemungkinan kenyataan itu disalah tafsir pihak tertentu dan disebarkan secara tidak betul,” katanya, ketika dihubungi, semalam.
 

Menurutnya, Muhyiddin beberapa kali mengunjungi Azizan ketika menerima  rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Kedah dan beliau mengenali hati budi pemimpin nombor dua negara itu yang tidak pernah membuat kenyataan negatif terhadap Azizan.
 

“Saya terima penjelasan yang dibuat Muhyiddin menerusi akhbar, dan kami sekeluarga tiada masalah untuk memaafkan jika benar berlaku keterlanjuran kata beliau ketika berkempen,” katanya.
 

Kelmarin, Muhyiddin menegaskan tidak berniat menyinggung perasaan mana-mana pihak, terutama keluarga Allahyarham Azizan, berhubung kenyataannya yang mengaitkan keputusan kerajaan memansuhkan subsidi gula dengan masalah penyakit kencing manis.
Muhyiddin berkata, beliau tidak merujuk kepada bekas Menteri Besar Kedah itu,  tetapi hanya bercakap secara umum.

 

Bagaimanapun, Muhyiddin memohon maaf secara terbuka jika kenyataan beliau itu disalah erti dan menyinggung perasaan keluarga Allahyarham.
 

Sebelum itu, anak kelima Azizan, Muhammad Rafi’iy pada sidang media, meminta Muhyiddin membuat permohonan maaf berikutan kenyataan berkenaan ketika berucap di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Limau.
 

Faekah berkata, hubungan baik antara Azizan dan Muhyiddin sudah lama terjalin, iaitu sebelum kedua-dua mereka terlibat dalam politik sepenuh masa.
 

“Mereka sudah saling mengenali sejak tahun 60-an lagi, di mana ketika itu Azizan melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar. Kebetulan kakak kepada Muhyiddin turut belajar di universiti sama dan daripada situ mereka berkenalan,” katanya.  

Menurutnya, hubungan mesra itu masih terjalin selepas mereka aktif dalam politik, walaupun berbeza parti.
 

“Azizan sememangnya begitu. Allahyarham selalu ketepikan perbezaan politik apabila berkawan. Sebab itu Allahyarham mempunyai ramai kawan daripada pelbagai latar belakang politik berbeza,” katanya.
(Sinar Harian) 

30 October, 2013

MAHKAMAH PERINTAH BLOGGER PADI JANTAN BAYAR RM130,000.

ALOR SETAR - Mahkamah Tinggi Alor Setar semalam memerintahkan pengendali blog Padi Jantan, Sobri Sudin membayar RM130,000 kepada bekas Setiausaha Politik Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor kerana menfitnahnya, dengan menyiarkan laporan palsu di laman blog berkenaan.
 

Pesuruhjaya Kehakiman, Abu Bakar Katar mengarahkan defendan membayar gantirugi am sebanyak RM100,000 dan kos sebanyak RM30,000 dalam tempoh sebulan.
 

Abu Bakar membuat keputusan itu setelah mahkamah mendapati plaintif berjaya membuktikan laporan yang disiarkan pada laman blog terbabit pada 22 Julai 2012, adalah fitnah selain memberi kesan negatif terhadap reputasi plaintif.
 

“Mahkamah juga mengambil kira kedudukan plaintif sebagai bekas Setiausaha Politik Menteri Besar serta penglibatan dalam parti politik sebagai Timbalan Ketua Pemuda Pas dan Ketua Penerangan Pas Kedah, selain fitnah yang dibuat melalui teknologi iaitu internet termasuk, keluarga plaintif yang menanggung kesannya,” katanya.
 

Muhammad Sanusi yang juga Ketua Penerangan Pas  Kedah, diwakili oleh Amin Amirul & Partners melalui peguam, Amirul Fairuzzeen Jamaluddin manakala defendan tidak diwakili peguam.
 

Pada 27 Februari lalu, Muhammad Sanusi yang ketika itu Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar, Tan Sri Azizan Abdul Razak memfailkan saman fitnah berhubung laporan blog pada 22 Julai 2012, kerana mengaitkan dirinya dengan rasuah bernilai RM1.3juta, selain didakwa berada dalam lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah.
 

Menurutnya, dakwaan itu bersifat fitnah kerana ketika itu, beliau hadir pada program Menteri Besar menyampaikan sumbangan Ramadan di Masjid Alor Semela, Jalan Datuk Kumbar.
 

Dalam tuntutannya, Muhammad Sanusi mendakwa laporan itu berniat jahat menfitnah beliau, menyebabkan beliau dan keluarga menanggung malu serta menjejaskan maruah diri dan keluarga.
 

Beliau juga memohon defendan meminta maaf secara terbuka dan menarik balik laporan fitnah.
 

Muhammad Sanusi ketika ditemui, bersyukur dengan keputusan itu selain mahu kes ini dijadikan pengajaran agar tidak berulang terhadap mana-mana pemimpin politik.
 

“Tindakan mahkamah adalah untuk menghentikan gejala fitnah yang dilakukan sekelompok media baru dengan menabur fitnah. Kebebasan bersuara tidak bermakna boleh sesuka hati menyebar fitnah kepada orang lain,”  katanya.
 

Menurutnya, kes ini juga wajar dijadikan pengajaran kepada blogger tempatan yang sering memaparkan berita tidak sahih untuk sebaran sama ada laman facebook, blog, twitter mahupun khidmat pesanan ringkas (SMS). Sumber : Sinar Harian

01 October, 2013

SEBUAH BANDARAYA BERHALA "1MALAYSIA SPIRITUAL TOURISM" YANG TERBESAR DI DUNIA AKAN DIBANGUNKAN

Samaada masyarakat Islam Negara ini sedar atau tidak sebuah projek mega ‘1Malaysia Spiritual Tourism City’ akan dibangunkan di Gambang 35 km dari Kuantan, Pahang.

Konsep bandaraya Spiritual Tourism ini akan dibangunkan diatas tanah seluas 500 ekar (keluasan yang lebih besar dari KLIA) akan menempatkan semua berhala dan to pek kong agama-agama besar dalam Negara ini kecuali Islam.

Ia akan menempatkan : 
1) Patung Kuan Yin terbesar di dunia yang berputar. 
2) Kuil Kuan Yin yang terbesar di dunia. 
3) Piramid terbesar di dunia
4) Keranda menyimpan abu mayat atau columbarium yang terbesar di dunia. 

Mengikut kenyataan dari pemaju projek ini Enchant Acres Sdn Bhd "The Malaysian government fully supported us in this project and also providing us the land. This is fully backed by the government of Malaysia and the government of Malaysia has also helped us to provide funding for this project."  

Adalah dijangkakan upacara pecah tanah projek ini akan dilakukan pada penghujung bulan November 2013. 

TERASA KOK KENA 'PENAMPAR'

Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir menegaskan reaksi dizahirkan beliau berhubung isu sekolah Cina di Kedah, bukan bermaksud beliau pendendam, tetapi menganggapnya perkara lumrah dalam politik.
Mengulas tuduhan Ahli Parlimen DAP Seputeh, Theresa Kok bahawa beliau mahu menghukum masyarakat Cina di Kedah kerana tidak mengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, Mukhriz berkata, jika ada lebihan peruntukan, pihak yang tidak menyokong BN pun akan turut dibantu.
“Sudah tentulah kita nak jaga orang yang sokong kita dulu (dalam pilihan raya). Apabila selesai apa yang kami (BN) janji dan jika ada lebihan peruntukan, kami akan bagilah kepada mereka (pihak yang tidak menyokong).

“Kami (BN) ada manifesto dan pihak lawan pun ada, namun dalam keputusan PRU lalu, kami yang menang, jadi sudah tentulah manifesto kami yang akan kami laksanakan. Saya ingat bukan kita (BN Kedah) saja, Kerajaan (DAP) Pulau Pinang pun buat benda sama juga,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat UMNO Kedah, di sini malam kelmarin.

Kok melalui kenyataan medianya yang disiar portal www.malaysiakini.com kelmarin, dilapor berkata, Mukhriz menunjukkan sikap tidak wajar apabila menyatakan tidak akan melayan permintaan sekolah Cina di Kedah.

Mengenai dakwaan beliau seorang yang bersikap perkauman, Mukhriz meminta Kok menilai status parti yang dinaunginya, iaitu DAP terlebih dulu sebelum menuding jari mendakwa orang lain bersifat demikian.
 
Sekadar persepsi
“Pada saya ia sebenarnya hanya sekadar persepsi (oleh Kok). Ahli Parlimen Seputeh kata saya rasis, tetapi bagi saya tidak, kerana kami (BN) sememangnya cuba untuk menghidupkan gagasan 1Malaysia. Namun bagi DAP sendiri, ia sememangnya jelas, amalkan rasis... kami pula ada 1Malaysia,” katanya.

Ditanya sama ada tindakan kerajaan negeri itu akan menghakis sokongan masyarakat Cina terhadap BN, Mukhriz berkata, ia sememangnya sudah terhakis.

“Pada saya, mereka (masyarakat Cina) sebenarnya tidak bernasib baik, cuba buat percaturan baru dengan menyokong DAP, tetapi apa yang mereka harapkan tidak dapat ditunaikan. Itu kesilapan besar yang saya lihat diambil masyarakat Cina di Kedah,” katanya.(BH)