Oleh JAMLIAH ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my
ALOR SETAR 4 Julai - Di sebalik pelbagai desakan
agar Rektor Kolej Universiti Insaniah (Kuin) meletak jawatan atau
dipecat ekoran kegagalannya mengendalikan pelbagai isu yang timbul,
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak tetap
mempertahankannya.
Menurut Azizan, rektor terbabit, Prof. Datuk Dr. Jamil Osman
merupakan bekas dekan fakulti ekonomi dan pernah menjadi timbalan rektor
sekali gus layak memimpin dan membangunkan Kuin. Lagipun, katanya, pelantikan Rektor Kuin tersebut juga telah
disambung sehingga 2016 untuk memastikan agenda membangunkan Kuin terus
berjalan.
"Saya bawa dia, panggil dia dari Kuala Lumpur untuk mengembang dan membawa pembaharuan kepada Kuin.
"Orang suruh dia letak jawatan buat apa, yang suruh itu pemandu
sahaja," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat
mingguan Exco Kerajaan Negeri di sini hari ini.
Beliau mengulas demonstrasi kira-kira 200 kakitangan pusat pengajian
tinggi milik kerajaan negeri itu semalam yang mendesak Jamil meletak
jawatan atau dipecat oleh Azizan yang juga Pengerusi Kuin. Mereka menyertai demonstrasi yang dinamakan Himpunan Aman Bersih Kuin
2.0 selepas kecewa dengan pentadbiran Jamil yang didakwa gagal menjaga
kebajikan pekerja dan pelajar serta menutup pintu rundingan untuk
mencari penyelesaian adil.
Dalam pada itu, Azizan meminta pihak yang tidak berpuas hati dengan
kemelut Kuin bersabar kerana kerajaan negeri memerlukan sedikit masa
untuk menyusun semula pengurusan kolej universiti tersebut.
"Kepada mereka yang berdemonstrasi kerana tidak berpuas hati,
bersabarlah. Ini bukan kolej universiti kerajaan, tetapi swasta,"
katanya.
Beliau turut mengakui Kuin berdepan masalah kewangan ekoran kos
pengurusan mencecah RM50 juta setahun sedangkan kerajaan negeri hanya
menyalurkan peruntukan RM15 juta.
"Maka yuran budak-budak (penuntut) yang kita gunakan, namun berlaku
sedikit masalah teknikal baru-baru ini sehingga menyebabkan peruntukan
lambat disalurkan kepada Kuin.
"Pelajar pula tidak bayar yuran lagi kerana pinjaman Perbadanan
Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak dapat lagi," katanya.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri menerusi syarikat milik
kerajaan (GLC) akan bertindak sebagai penyumbang dana kepada Kuin.
"Sememangnya tugas GLC membantu kerajaan dalam perkara berkaitan
tanggungjawab sosial korporat (CSR). Misalnya Perbadanan Kemajuan Negeri
Kedah (PKNK) jika buat keuntungan lebih, kita arah mereka sumbang
kepada kerajaan negeri," katanya.
Mengulas kemungkinan tindakan tatatertib dikenakan ke atas kakitangan
yang terlibat dalam demonstrasi itu, Azizan memberitahu, beliau memberi
kebebasan kepada mereka.
''Itu hak mereka, apa yang boleh kita beri hanyalah nasihat dan kita
tidak kacau kebebasan mereka," katanya yang turut enggan mengadakan
rundingan dengan pihak tersebut. Beliau pada masa sama menjelaskan, kemelut yang melanda Kuin tidak akan menjejas populariti kolej universiti tersebut.
"Setakat hari ini, seramai 1,056 daripada 1,300 pemohon sudah
mendaftar dan kita menunggu sehingga 21 Julai ini kerana dijangka ramai
lagi pelajar akan mendaftar," katanya.
Beliau turut melahirkan rasa kurang puas hati terhadap media yang disifatkan sebagai sengaja membesar-besarkan isu tersebut.
''Sejak hari pertama saya sebagai Pengerusi Kuin sehingga hari ini,
tidak habis-habis ada sahaja isu Kuin. Alhamdulillah oleh kerana banyak
sangat tentang Kuin, Kuin menjadi popular," katanya.